QUEEN CONTROL

Assalamualaikum

Alhamdulillah, syukur dipanjangkan usia hingga ke detik ini.

Bulan lepas saya terbaca satu status pasangan suami isteri di facebook telah menjadi viral. (tak ingat pulak nama mereka… malas nak scroll dan cari semula.. hehe..). Tajuk isu hangat itu ialah ‘Queen Control’. Kisah si suami yang sangat prihatin, rajin membantu isteri, meringankan beban tugas isteri yang bekerja dalam melakukan tugas-tugas rumah tangga. Biasalah, dalam kehidupan, ada yang faham dan memberi sokongan terhadap perkara yang baik dan tak kurang juga golongan ‘haters’ yang berfikiran negatif yang suka mengkritik untuk mendapat perhatian.

Tahniah kepada isteri tersebut, anda bukan seorang queen control. Bersyukurlah kerana anda insan terpilih mendapat seorang suami yang memahami pelbagai beban tugas seorang isteri, iaitu peranan sebagai isteri, ibu, dan juga pekerja. 

Disini sedikit perkongsian dari pengalaman saya.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang susah. Kesusahan hidup menyebabkan emak terpaksa bekerja bagi menambah pendapatan keluarga. Emak bekerja di ladang sayur (sebelum emak tukar kerja menjahit dirumah). Emak keluar rumah seawal selepas subuh dan balik lewat petang. Ayah seorang penoreh getah. Ayah bangun seawal 4.30pagi setiap hari, selesai solat, ayah tolong emak masak air, setelah siap mengasah pisau toreh getah, ayah tolong mak buat air, kejutkan anak-anak, dan juga tolong emak kerja-kerja didapur.

kebun-getah

Emak berkerja di ladang sayur, seharian ditengah panas terik, terbongkok-bongkok menanam pokok, membaja, merumput, mengutip sayur dan buah, memilih dan mengasingkannya. Pastinya apabila sampai dirumah dalam keadaan keletihan yang melampau. Ayah juga keluar awal pagi menorah getah. Tapi biasanya penoreh getah sudah boleh sampai rumah sebelum 12 tengahari. Sampai saja di rumah ayah capai penyapu, terus menyapu dedaun kering dihalaman dan keliling rumah. Kemudian ayah masuk rumah cuci pinggan mangkuk, masak nasi, goreng ikan, mengemas, siram pokok dan lain-lain. Ayah uruskan makan minum dan hal sekolah anak-anak beres sebelum emak balik kerja. Bagi yang melihat secara luaran saja akan melebel ayah telah di Queen Control oleh emak. Hmm, ayah redha jer.

Pada sebelah malam pula, selepas balik surau ayah mengajar kami adik beradik mengaji Al-Quran, termasuk juga beberapa orang anak jiran yang turut belajar mengaji bersama. Ayah buat kerja-kerja itu tanpa rasa malas. Kami tahu ayah pasti penat seperti emak juga kerana melakukan kerja terus menerus sebaik sahaja bangun tidur hingga lewat malam setelah selesai semua rutin harian. Ayah lakukan semuanya dengan iklas kerana amat memahami keadaan emak sangat penat apabila balik dari tempat kerja. Tak pernah pun kami lihat atau dengar ayah mengeluh dengan kerja yang dibuat. Ketika itu kami masih kecil, hanya mampu tolong kerja-kerja ringan saja, ayahlah yang banyak mengurus hal rumahtangga kerana emak balik lewat. Ayah memang ringan tulang, sentiasa tolong emak dari muda hinggalah ketua.

kebun sayur3

Apabila tua, emak sangat uzur, mengalami sakit pinggang, masalah tulang bengkok dan slipdisc, mungkin kesan kerja berat dan juga pemakanan dengan nutrisi yang tidak cukup/lengkap. Emak tak kuat lagi untuk berdiri lama mahupun duduk lama, Ayah jugalah yang mengurus segalanya, ayah sediakan sarapan, memasak dan menghidang untuk makan tengahari dan makan malam, cuci pinggan mangkuk, basuh baju, kemas rumah dan lain-lain. Sekali ramai yang melihat seolah ayah di queen control kerana melakukan semua kerja-kerja rumah.

Kami amat terharu kerana ayah jaga emak dengan baik. Emak dilayan bagaikan permaisuri. Pada masa tu ayah masih kuat, masih mampu kekedai membeli barang dapur, mengemas rumah, mencuci kain baju, dan memasak sendiri, maka mereka enggan tinggal bersama anak-anak, dan memilih untuk hidup berdikari. Ayah tinggal berdua dengan emak sahaja, kesemua anak-anak tinggal agak berjauhan dari kampung. Ayah jaga emak dengan terbaik tanpa rasa di QUEEN CONTROL, kerana itu adalah amanah dan tanggungjawabnya, juga sebagai menghargai pengorbanan emak yang telah sama-sama bersusah senang hidup bersama sebagai isteri dan juga ibu dalam keluarga.

behind man2a

Kini sikap prihatin ayah diwarisi oleh kesemua anak lelakinya. Adik-beradik saya sangat rajin menolong isteri masing-masing. Emak pula amat positif, sentiasa menyokong dan menggalakkan anak-anaknya membantu isteri masing-masing. Kami juga tidak mengganggap adik-adik ipar kami sebagai QUEEN CONTROL, malah rasa bangga melihat mereka rajin membantu isteri masing-masing. Kami turut bahagia melihat kehidupan mereka yang sangat harmoni. Sememangnya perkongsian hidup perlukan sikap tolak ansur. Tugas dan tanggungjawab perlu dikongsi dan dilaksanakan secara bersama-sama.

Membantu isteri melakukan tugas-tugas harian di rumah adalah sunnah, kerana Nabi Muhammad juga membantu isteri-isterinya melakukan tugas-tugas harian dirumah.

Saya doakan semoga kita, generasi anak cucu kita, hidup bahagia dengan amalan gaya hidup mengikut sunnah.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud, alirkan secebis kasih dan cintaMU kepada kami sekeluarga agar dapat melaksanakan amanahMu

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Jami’, satukan hati-hati kami dan ibubapa kami, adik beradik kami, ipar duai kami dan anak-anak kami dengan kasih sayangMu agar dapat kami sayang menyayang, tolong menolong, pimpin memimpin dan hormat menghormati antara kami.

Ampunkan segala dosa kedua ibubapa kami. Aamiin.

Jumpa lagi dalam bicara santai seterusnya.