QUEEN CONTROL

Assalamualaikum

Alhamdulillah, syukur dipanjangkan usia hingga ke detik ini.

Bulan lepas saya terbaca satu status pasangan suami isteri di facebook telah menjadi viral. (tak ingat pulak nama mereka… malas nak scroll dan cari semula.. hehe..). Tajuk isu hangat itu ialah ‘Queen Control’. Kisah si suami yang sangat prihatin, rajin membantu isteri, meringankan beban tugas isteri yang bekerja dalam melakukan tugas-tugas rumah tangga. Biasalah, dalam kehidupan, ada yang faham dan memberi sokongan terhadap perkara yang baik dan tak kurang juga golongan ‘haters’ yang berfikiran negatif yang suka mengkritik untuk mendapat perhatian.

Tahniah kepada isteri tersebut, anda bukan seorang queen control. Bersyukurlah kerana anda insan terpilih mendapat seorang suami yang memahami pelbagai beban tugas seorang isteri, iaitu peranan sebagai isteri, ibu, dan juga pekerja. 

Disini sedikit perkongsian dari pengalaman saya.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang susah. Kesusahan hidup menyebabkan emak terpaksa bekerja bagi menambah pendapatan keluarga. Emak bekerja di ladang sayur (sebelum emak tukar kerja menjahit dirumah). Emak keluar rumah seawal selepas subuh dan balik lewat petang. Ayah seorang penoreh getah. Ayah bangun seawal 4.30pagi setiap hari, selesai solat, ayah tolong emak masak air, setelah siap mengasah pisau toreh getah, ayah tolong mak buat air, kejutkan anak-anak, dan juga tolong emak kerja-kerja didapur.

kebun-getah

Emak berkerja di ladang sayur, seharian ditengah panas terik, terbongkok-bongkok menanam pokok, membaja, merumput, mengutip sayur dan buah, memilih dan mengasingkannya. Pastinya apabila sampai dirumah dalam keadaan keletihan yang melampau. Ayah juga keluar awal pagi menorah getah. Tapi biasanya penoreh getah sudah boleh sampai rumah sebelum 12 tengahari. Sampai saja di rumah ayah capai penyapu, terus menyapu dedaun kering dihalaman dan keliling rumah. Kemudian ayah masuk rumah cuci pinggan mangkuk, masak nasi, goreng ikan, mengemas, siram pokok dan lain-lain. Ayah uruskan makan minum dan hal sekolah anak-anak beres sebelum emak balik kerja. Bagi yang melihat secara luaran saja akan melebel ayah telah di Queen Control oleh emak. Hmm, ayah redha jer.

Pada sebelah malam pula, selepas balik surau ayah mengajar kami adik beradik mengaji Al-Quran, termasuk juga beberapa orang anak jiran yang turut belajar mengaji bersama. Ayah buat kerja-kerja itu tanpa rasa malas. Kami tahu ayah pasti penat seperti emak juga kerana melakukan kerja terus menerus sebaik sahaja bangun tidur hingga lewat malam setelah selesai semua rutin harian. Ayah lakukan semuanya dengan iklas kerana amat memahami keadaan emak sangat penat apabila balik dari tempat kerja. Tak pernah pun kami lihat atau dengar ayah mengeluh dengan kerja yang dibuat. Ketika itu kami masih kecil, hanya mampu tolong kerja-kerja ringan saja, ayahlah yang banyak mengurus hal rumahtangga kerana emak balik lewat. Ayah memang ringan tulang, sentiasa tolong emak dari muda hinggalah ketua.

kebun sayur3

Apabila tua, emak sangat uzur, mengalami sakit pinggang, masalah tulang bengkok dan slipdisc, mungkin kesan kerja berat dan juga pemakanan dengan nutrisi yang tidak cukup/lengkap. Emak tak kuat lagi untuk berdiri lama mahupun duduk lama, Ayah jugalah yang mengurus segalanya, ayah sediakan sarapan, memasak dan menghidang untuk makan tengahari dan makan malam, cuci pinggan mangkuk, basuh baju, kemas rumah dan lain-lain. Sekali ramai yang melihat seolah ayah di queen control kerana melakukan semua kerja-kerja rumah.

Kami amat terharu kerana ayah jaga emak dengan baik. Emak dilayan bagaikan permaisuri. Pada masa tu ayah masih kuat, masih mampu kekedai membeli barang dapur, mengemas rumah, mencuci kain baju, dan memasak sendiri, maka mereka enggan tinggal bersama anak-anak, dan memilih untuk hidup berdikari. Ayah tinggal berdua dengan emak sahaja, kesemua anak-anak tinggal agak berjauhan dari kampung. Ayah jaga emak dengan terbaik tanpa rasa di QUEEN CONTROL, kerana itu adalah amanah dan tanggungjawabnya, juga sebagai menghargai pengorbanan emak yang telah sama-sama bersusah senang hidup bersama sebagai isteri dan juga ibu dalam keluarga.

behind man2a

Kini sikap prihatin ayah diwarisi oleh kesemua anak lelakinya. Adik-beradik saya sangat rajin menolong isteri masing-masing. Emak pula amat positif, sentiasa menyokong dan menggalakkan anak-anaknya membantu isteri masing-masing. Kami juga tidak mengganggap adik-adik ipar kami sebagai QUEEN CONTROL, malah rasa bangga melihat mereka rajin membantu isteri masing-masing. Kami turut bahagia melihat kehidupan mereka yang sangat harmoni. Sememangnya perkongsian hidup perlukan sikap tolak ansur. Tugas dan tanggungjawab perlu dikongsi dan dilaksanakan secara bersama-sama.

Membantu isteri melakukan tugas-tugas harian di rumah adalah sunnah, kerana Nabi Muhammad juga membantu isteri-isterinya melakukan tugas-tugas harian dirumah.

Saya doakan semoga kita, generasi anak cucu kita, hidup bahagia dengan amalan gaya hidup mengikut sunnah.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud, alirkan secebis kasih dan cintaMU kepada kami sekeluarga agar dapat melaksanakan amanahMu

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Jami’, satukan hati-hati kami dan ibubapa kami, adik beradik kami, ipar duai kami dan anak-anak kami dengan kasih sayangMu agar dapat kami sayang menyayang, tolong menolong, pimpin memimpin dan hormat menghormati antara kami.

Ampunkan segala dosa kedua ibubapa kami. Aamiin.

Jumpa lagi dalam bicara santai seterusnya.

JALAN HIDUP

Setiap insan melalui perjalanan hidup. Melalui perjalanan hidup kita mengutip pengalaman. Saya mempunyai pengalaman manis semasa berusia 13 tahun. Disini saya nak kongsikan pengalaman ‘sehari sebagai pelajar tingkatan 1’. Saya buat kerja ‘partime’ secara sukarela membantu keluarga.

pokok getah2

Pemandangan di kebun getah di tanah rata.

Kebun Getah ayah di lereng bukit kerana berhampiran hutan di kawasan tinggi.

Saya bersekolah sesi petang ketika itu. Maka seawal 5.30 pagi saya sudah bangun tidur bersiap untuk ikut ayah ke kebun getah selepas selesai solat subuh dan sarapan pagi. Biasanya kami bertolak jam 6.30 pagi dengan menaiki motosikal ayah, Honda C70. Saya duduk ditengah, dan dibelakangnya diikat tong susu getah. Saya tak pandai menoreh getah, tambah pula badan saya bersaiz kecil, kurus dan rendah, tak sesuai untuk menoreh getah kerana pokok getah sudah besar dan tinggi. Tugas saya ialah membawa baldi turun naik bukit dari satu pokok ke satu pokok mengutip getah beku yang juga dipanggil getah ‘skrap’ atau pun ‘saham’. Mangkuk getah yang dikenali sebagai ‘pot’ diterbalikkan untuk ditoskan supaya kering. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘cuci pot’. Hehe, kerja partime saya ‘cuci pot tau!.

Screenshot_2015-10-31-14-45-01

Tugas ‘cuci pot’ ~ mengutip getah beku dan toskan mangkuk susu supaya kering.

Apabila baldi telah penuh dengan getah skrap saya hantar ke tempat pengumpulan, iaitu tempat rehat dan juga tempat parking motosikal. Getah beku dipindah masuk kedalam guni plastik. Seterusnya saya sambung kerja hingga kesemua getah skrap habis dikutip. Biasanya saya akan berlari-lari buat kerja supaya dapat cepat habis. Ini bermakna saya bergerak jauh mengutip getah-getah beku itu dan ayah pula jauh tertinggal dibelakang menorah getah dengan cermat. Takdir rezeki ayah saya, ayah dapat kebun getah yang lokasinya amat jauh dari rumah, bersebelahan hutan tebal. Sesekali terasa takut sebab bunyi haiwan-haiwan hutan kedengaran seperti sangat dekat. Berjalan mengutip getah-getah beku melalui timbunan daun-daun kering, ranting kayu dan rumput yang agak tinggi juga buat saya rasa cuak kerana sering kali ternampak reptelia melintas. Pacat dan nyamuk usah cakaplah, berada dikebun getah memang sentiasa menjadi baham digigit nyamuk dan pacat setiap hari. Setiap hari ‘derma darah’ kepada nyamuk dan pacat.

sungai di kebun

Seringkali leka bermain air ketika menyeberang anak sungai.

Setiap hari meredah anak sungai untuk memungut getah beku dari pokok getah di seberang sungai.

Setelah selesai kutip getah beku, saya makan bekalan yang dibekalkan oleh emak. Kemudian bertemankan sebiji baldi, sekali lagi saya membilang pokok getak, iaitu mengutip susu getah dari satu pokok ke satu pokok. Apabila baldi penuh susu getah dihantar ke pengkalan dan dituang kedalam tong getah. Biasanya saya hanya kutip 1/3 sahaja dan perlu balik kerumah lebih awal untuk ke sekolah. Tinggallah ayah seorang diri menyelesaikan semua kerja-kerja yang belum siap.

getah1a

Susu Getah dipungut dan dihantar ke Stor.

Baki susu getah yang menitis di biarkan beku dan dikutip esok hari.

Perjalanan balik kerumah pula amat mencabar minda. Saya balik berjalan kaki seorang diri dalam kebun getah yang jauh, turun bukit naik bukit, melalui lorong motosokal atau pejalan kaki. Ada dua pilihan jalan. Jalan ‘short cut’ iaitu laluan pejalan kaki agak dekat sedikit, iaitu separuh perjalanan berbanding laluan biasa. Namun agak sunyi kerana tak ramai yang lalu disitu kerana majoriti peneroka bermotosikal berulang alik ke kebun. Kadang-kadang saya ikut shortcut kerana nak cepat sampai ke rumah.

getah2

Jalan Shortcut ~ Lorong kecil di celahan belukar dan kebun getah orang lain.

Sebagai manusia emosi memang berubah-ubah. Ada masanya timbul juga rasa takut melalui jalan yang dekat kerana keadaan yang sunyi dan terpaksa melalui celahan anak sungai dan belukar, melalui kebun getah orang. Maka saya ambil laluan yang jauh, namun berisiko juga sebab motosikal yang lalu semuanya laju-laju dan sesekali terpaksa berhenti ditepi jalan sebentar untuk memberi laluan kepada traktor yang mengangkut baja.

jalan kebun

Berlari turun bukit naik bukit melalui jalan tanah merah perjalanan balik ke rumah.

Berkat berlari turun bukit naik bukit setiap hari itulah menjadikan saya sentiasa mempunyai stamina dan badan kekal langsing. Tidak seperti remaja sekarang ramai yang mengalami obesiti dan tidak cergas. Tanpa sedar, saya juga telah mendapat terapi ‘bekam’ semula jadi ketika itu, iaitu oleh sang ‘pacat’ yang murah hati menghisap darah yang bertoksin!.

Diari sehari ni belum berakhir lagi ya!. Ada satu rutin ‘part time’ saya buat. Sebelum sampai di rumah saya singgah pula di kedai membeli ikan. Pada masa itu belum ada bekalan elektrik di kampung saya, maka semua penduduk tiada peti sejuk untuk menyimpan makanan basah. Ikan dan sayur dibeli setiap hari. Sampai sahaja dirumah saya akan bersihkan ikan sebelum mandi untuk ke sekolah. Namun kadang-kadang emak yang lakukan jika masa sudah lewat. Sementara saya mandi dan bersiap untuk ke sekolah emak menggoreng ikan dan menyediakan bekal untuk saya bawa ke sekolah.

bas sekolah

Sekali lagi saya berjalan kaki ke tempat menunggu bas sekolah memikul beg sekolah yang berat dengan buku-buku. Kami berdiri di tepi jalan sahaja kerana tidak ada pondok khas tempat menunggu bas. Dalam bas berdiri lagi, kerana penumpang bas selalunya melebihi muatan. Kadang-kadang kami terpaksa bergayut ditangga bas sahaja kerana penumpang yang terlalu padat. Kami tidak mahu ketinggalan bas dan lewat kesekolah. Saya dan kawan-kawan semuanya gembira dan ceria sahaja menjalani kehidupan itu walaupun tanpa kemewahan seperti anak-anak zaman sekarang.

Kini, selepas berpuluh tahun berlalu, ketika saya mengharap kasih sayang Allah, mengenang masa lampau saya yang lalui, saya faham betapa agungnya kebesaran dan kekuasaan Allah. Saya dapat menikmati kemanisan hidup melalui perjalanan yang berliku, cabaran yang indah untuk dikenang. Saya dapat merasai sesuatu yang Allah nyatakan kepada insan biasa seperti saya, pecahkan tembok ‘ketakutanmu’!, anda mampu lakukan!, anda hebat!.

Satu perkara lagi yang dapat saya simpulkan disini, suasana kehidupan dahulu aman dan selamat, menjadikan ibubapa yakin untuk melepaskan anak-anak berada diluar, berdikari tanpa ditemani orang dewasa. Tidak seperti zaman sekarang, ibubapa sangat mengongkong dan menyawal pergerakan anak-anak mereka dengan ketat kerana bimbang dengan cabaran dan pelbagai pengaruh budaya tidak sihat yang semakin bertambah pada masa kini.

Sekian, Kisah sehari di Tingkatan 1. Jumpa lagi dalam sembang seterusnya.

Kongsi sekiranya bermanfaat.

SEMBANG BISNES

hadis1

Semalam menjadi sejarah,  Esok rahsia ilahi,

Nikmatilah hidup disaat ini dengan penuh rasa syukur.

Hidup ini adalah pentas dunia untuk kita hayati watak dan mesej yang hendak disampaikan. Tentu ramai yang setuju bahawa pelbagai peristiwa dalam kehidupan yang dialami adalah guru kita yang terbaik sebenarnya. Bersyukurlah setiap kejadian samaada yang pahit dan yang manis itu membuahkan banyak hikmah yang berakhir dengan kemanisan. Kesabaran, redha, berusaha membaiki situasi, berdoa dan berserah kepada Maha Pencipta adalah ramuan yang mampu mengubah situasi menjadi lebih baik dan terbaik.

Suatu ketika dulu, tidak pernah terlintas untuk berkongsi pengalaman dan infomasi seperti ini. Namun, pbila teringat ayat keramat ini,  “sampaikan ilmu walaupun sepotong ayat”. Maka, tercetuslah idea buat blog khas untuk kumpulkan koleksi tips kesihatan dan kecantikan. Tentu ada yang tertanya-tanya, mengapa tajuk atau bidang ini yang dipilih?.

Penjagaan kesihatan dan kecantikan adalah perkara penting yang harus dirutin dalam kehidupan harian. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman, kebersihan adalah imej seseorang. Kebersihan menghasilkan kesihatan yang baik. Untuk berjaya dalam kerjaya mahupun bisnes perlukan badan yang sihat. Badan yang sihat menjadikan kita sangat cergas dan mampu untuk fokus kepada tugas dan melakukannya dengan secara optimum. Tubuh badan yang sihat juga menjadikan kulit turut sihat dan cantik berseri.

Disuatu ketika dahulu, ketika saya sihat. saya tidak menjaga kesihatan dengan baik. Dengan kata lain tidak menghargai nikmat sihat atau tidak bersyukur dengan rezeki kesihatan yang diberi. Namun setelah tahap kesihatan semakin merundum, mengalami masalah obesiti, atriatis, muscle pain, sakit lutut dan keletihan yang melampau, barulah saya mula menghargai nikmat kesihatan yang diberi dan mula menjaga kesihatan agar pulih dan menjadi lebih baik. Disinilah bermulanya pencarian penyelesaian isu kesihatan ini. Inilah guru simbolik (diuji sakit sebagai peringatan untuk bersyukur) yang dihantar oleh pencipta kepadaku.

Semasa dilanda cabaran kesihatan, maka ramailah yang datang memperkenalkan produk masing-masing dengan pelbagai faedah kebaikan untuk kesihatan. Malah ada yang mengambil peluang menawarkan saya turut menyertai mereka dalam bisnes networking mereka. Terimakasih kepada mereka yang memberi semangat untuk ber bisnes itu. Sebelum diperkenalkan oleh mereka pun memang pernah terlintas dihati untuk buat sesuatu bagi menerokai bidang lain untuk mendapat pengalaman dan menambah pengetahuan. Ilmu yang bernilai, dan juga pelbagai pengalaman hidup sahabat dan insan-insan lain yang boleh dijadikan panduan dan motivasi kepada diri. Melalui pergaulan bersama insan-insan hebat ini banyak tips dan panduan yang boleh di gunakan dalam kehidupan harian.


kejayaan cuba
Sahabat sekelian, adik-adik dan anak-anak, mulakan bisnes dengan apa yang ada dahulu, walau sekalipun bermula dengan modal yang amat kecil. Sekiranya anda mempunyai modal sendiri (tanpa perlu berhutang tau mohon pinjaman bank). Amat penting anda jaga pengurusan kewangan (money managemant) agar aliran tunai (cashflow) anda sentiasa dalam keadaan positif. Usah laburkan semua tunai dan aset lain yang ada. Asingkan dan selamatkan wang simpanan anda untuk keperluan penting dan untuk kegunaan kecemasan di masa perlu.

Gandakan modal itu sedikit demi sedikit. Disitu anda akan menghargai setiap sen yang anda perolehi. Ukurlah kemampuan diri sebelum terpengaruh untuk melabur dengan nilai yang besar, maksudnya timba ilmu dahulu sebelum anda mengeluarkan modal yang melibatkan puluhan ribu.  Usah terpedaya dengan janji mereka jika anda sendiri belum ada ilmu, kekuatan minda dan keyakinan diri.

Bukan salah “upline” atau rakan niaga anda jika anda yang gagal. Silapnya diri anda sendiri kerana tidak mendapatkan ilmu yang sebaiknya sebelum melabur puluhan ribu ringgit. Anda amat teruja bila dijanjikan dengan pendapatan lumayan dengan cepat, teruja dengan cerita kejayaan mereka, teruja dengan kemewahan yang ditonjolkan sehingga sanggup setuju dengan cadangan mereka supaya memohon pinjaman RM25k, RM45k, RM60k, atau RM100k untuk menyertai projek mega mereka. Ditambah pula mereka sangat-sangat komited sehingga sanggup membawa anda berulang alik ke bank sehinggalah urusan pinjaman anda diluluskan dan selesai. Nah! Ini menunjukkan anda dan juga ‘upline’ anda hanya mengejar “wang” bukannya tujuan utama anda dan ‘dia’ untuk menambah nilai hidup diri dan juga insan lain.

Kisah benar ini adalah pengakuan daripada insan-insan yang terlibat dengan pinjaman bank untuk mulakan bisnes. Mereka terpedaya dengan ‘upline’ yang menyarankan membuat pinjaman bank untuk mulakan bisnes dalam kapasiti yang besar demi mendapat pulangan besar dengan cepat (Fast Track Program). Mereka terpukau dengan kemewahan yang ditonjolkan serta janji-janji yang amat mengujakan. Hanya 5-10% sahaja daripada kelompok ini yang berjaya mencapai matlamat masing-masing. Kelompok ini terpaksa “bekerja keras” kerana sudah terikat dengan komitmen membayar hutang bank yang dibuat semata-mata untuk tujuan itu, dan juga semangat mengejar impian besar seperti yang digambarkan. Namun selebihnya hanya ‘cukup-cukup makan’. Dengan kata lain hanya cukup untuk membayar ansuran bank yang kini menjadi liabiliti jangka panjang!.

Ramai juga yang kerugian besar kerana gagal menjual produk yang berlonggok-longok, sehingga produk luput tarikh. Ada yang terpaksa lelong stok pada harga separuh daripada kos. Ini dinamakan kerugian berganda!. jual dapat rugi dan pada masa yang sama terpaksa menanggung beban ansuran hutang bank setiap bulan selama 5-20 tahun. Malah ada yang lebih malang. Jatuh tangga, ditimpa tangga. Disaat mereka lelong produk separuh daripada harga kos, ada pula ‘leader’ lain buat aduan kepada pihak syarikat. Maka, produk itu dirampas. Malangnya nasib mereka, melopong dan menangislah kerana kesilapan besar yang telah dibuat. Syarikat tidak pun mempersoalkan isu seperti kes ini berlaku walaupun salah dari segi etika MLM.

Ikutlah pesanan guru saya, dahulukan modal insan. Mulakan dengan pelaburan ilmu. Belajar ‘skills’ yang diperlukan sebelum menceburi sesuatu bidang. Ada pelbagai cara mencari ilmu. Ada yang percuma dan juga berbayar. Maka ikutlah perintah Allah dan sunnah Rasuluulah, ‘Tuntutlah ILMU’.

Dalam kes lain pula, ada  dikalangan rakan kita yang terjebak melabur dengan skim-skim tertentu yang disudahi dengan “melebur” semua pelaburan yang dibuat. Ini terjadi kerana sikap ‘gopoh’ atau ‘tamak’ ingin segera dapat banyak “income” tanpa melalui proses berjual beli, mahupun tanpa perlu bekerja. Umpama membeli seekor itik yang boleh menghasilkan telur emas setiap hari. Golongan ini hanya suka duduk diam-diam, tiap hari pungut duit. Masih relevankah cara begini?.  Jawapannya tentu saja boleh, iaitu setelah anda sampai ke level yang tertentu yang dipanggil mencapai “pasif income” dari pelbagai sumber.

Ingat! Pasif income bukan melalui MLM sahaja, ada pelbagai cara. Namun, ramai jutawan masih mengambil peluang menyertai ‘MLM’ untuk memperbagaikan lagi sumber pendapatan mereka. Apa yang penting ialah, anda jana income bermula dengan apa yang ada dahulu, bebas dari sebarang pinjaman serta dapatkan ilmu dari guru yang betul.

Ini adalah sebahagian dari cerita kehidupan. Tipu daya dunia sama ada dalam dunia perniagaan atau bidang kerjaya memang ada pahit dan manis. Itulah guru simbolik yang Allah hantar kepada kita, yang perlu kita fahami. Dia berikan kita kesedihan dan cabaran hari ini kerana dia mahukan kita sentiasa memohon hanya kepadaNya. Kita hanya perlu berusaha dan hasil serahkan segalanya kepadaNya.

Jika kita renungkan kembali atau muhasabah diri, kita akan berterima kasih, syukur kerana dianugerahkan sesuatu yang lebih baik dari yang diminta, yang lebih indah dari yang diimpikan.

Best kan? jika best, say Best, Best, Best, kuat-kuat dengan penuh semangat.

Sharing is Caring.