JALAN HIDUP

Setiap insan melalui perjalanan hidup. Melalui perjalanan hidup kita mengutip pengalaman. Saya mempunyai pengalaman manis semasa berusia 13 tahun. Disini saya nak kongsikan pengalaman ‘sehari sebagai pelajar tingkatan 1’. Saya buat kerja ‘partime’ secara sukarela membantu keluarga.

pokok getah2

Pemandangan di kebun getah di tanah rata.

Kebun Getah ayah di lereng bukit kerana berhampiran hutan di kawasan tinggi.

Saya bersekolah sesi petang ketika itu. Maka seawal 5.30 pagi saya sudah bangun tidur bersiap untuk ikut ayah ke kebun getah selepas selesai solat subuh dan sarapan pagi. Biasanya kami bertolak jam 6.30 pagi dengan menaiki motosikal ayah, Honda C70. Saya duduk ditengah, dan dibelakangnya diikat tong susu getah. Saya tak pandai menoreh getah, tambah pula badan saya bersaiz kecil, kurus dan rendah, tak sesuai untuk menoreh getah kerana pokok getah sudah besar dan tinggi. Tugas saya ialah membawa baldi turun naik bukit dari satu pokok ke satu pokok mengutip getah beku yang juga dipanggil getah ‘skrap’ atau pun ‘saham’. Mangkuk getah yang dikenali sebagai ‘pot’ diterbalikkan untuk ditoskan supaya kering. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘cuci pot’. Hehe, kerja partime saya ‘cuci pot tau!.

Screenshot_2015-10-31-14-45-01

Tugas ‘cuci pot’ ~ mengutip getah beku dan toskan mangkuk susu supaya kering.

Apabila baldi telah penuh dengan getah skrap saya hantar ke tempat pengumpulan, iaitu tempat rehat dan juga tempat parking motosikal. Getah beku dipindah masuk kedalam guni plastik. Seterusnya saya sambung kerja hingga kesemua getah skrap habis dikutip. Biasanya saya akan berlari-lari buat kerja supaya dapat cepat habis. Ini bermakna saya bergerak jauh mengutip getah-getah beku itu dan ayah pula jauh tertinggal dibelakang menorah getah dengan cermat. Takdir rezeki ayah saya, ayah dapat kebun getah yang lokasinya amat jauh dari rumah, bersebelahan hutan tebal. Sesekali terasa takut sebab bunyi haiwan-haiwan hutan kedengaran seperti sangat dekat. Berjalan mengutip getah-getah beku melalui timbunan daun-daun kering, ranting kayu dan rumput yang agak tinggi juga buat saya rasa cuak kerana sering kali ternampak reptelia melintas. Pacat dan nyamuk usah cakaplah, berada dikebun getah memang sentiasa menjadi baham digigit nyamuk dan pacat setiap hari. Setiap hari ‘derma darah’ kepada nyamuk dan pacat.

sungai di kebun

Seringkali leka bermain air ketika menyeberang anak sungai.

Setiap hari meredah anak sungai untuk memungut getah beku dari pokok getah di seberang sungai.

Setelah selesai kutip getah beku, saya makan bekalan yang dibekalkan oleh emak. Kemudian bertemankan sebiji baldi, sekali lagi saya membilang pokok getak, iaitu mengutip susu getah dari satu pokok ke satu pokok. Apabila baldi penuh susu getah dihantar ke pengkalan dan dituang kedalam tong getah. Biasanya saya hanya kutip 1/3 sahaja dan perlu balik kerumah lebih awal untuk ke sekolah. Tinggallah ayah seorang diri menyelesaikan semua kerja-kerja yang belum siap.

getah1a

Susu Getah dipungut dan dihantar ke Stor.

Baki susu getah yang menitis di biarkan beku dan dikutip esok hari.

Perjalanan balik kerumah pula amat mencabar minda. Saya balik berjalan kaki seorang diri dalam kebun getah yang jauh, turun bukit naik bukit, melalui lorong motosokal atau pejalan kaki. Ada dua pilihan jalan. Jalan ‘short cut’ iaitu laluan pejalan kaki agak dekat sedikit, iaitu separuh perjalanan berbanding laluan biasa. Namun agak sunyi kerana tak ramai yang lalu disitu kerana majoriti peneroka bermotosikal berulang alik ke kebun. Kadang-kadang saya ikut shortcut kerana nak cepat sampai ke rumah.

getah2

Jalan Shortcut ~ Lorong kecil di celahan belukar dan kebun getah orang lain.

Sebagai manusia emosi memang berubah-ubah. Ada masanya timbul juga rasa takut melalui jalan yang dekat kerana keadaan yang sunyi dan terpaksa melalui celahan anak sungai dan belukar, melalui kebun getah orang. Maka saya ambil laluan yang jauh, namun berisiko juga sebab motosikal yang lalu semuanya laju-laju dan sesekali terpaksa berhenti ditepi jalan sebentar untuk memberi laluan kepada traktor yang mengangkut baja.

jalan kebun

Berlari turun bukit naik bukit melalui jalan tanah merah perjalanan balik ke rumah.

Berkat berlari turun bukit naik bukit setiap hari itulah menjadikan saya sentiasa mempunyai stamina dan badan kekal langsing. Tidak seperti remaja sekarang ramai yang mengalami obesiti dan tidak cergas. Tanpa sedar, saya juga telah mendapat terapi ‘bekam’ semula jadi ketika itu, iaitu oleh sang ‘pacat’ yang murah hati menghisap darah yang bertoksin!.

Diari sehari ni belum berakhir lagi ya!. Ada satu rutin ‘part time’ saya buat. Sebelum sampai di rumah saya singgah pula di kedai membeli ikan. Pada masa itu belum ada bekalan elektrik di kampung saya, maka semua penduduk tiada peti sejuk untuk menyimpan makanan basah. Ikan dan sayur dibeli setiap hari. Sampai sahaja dirumah saya akan bersihkan ikan sebelum mandi untuk ke sekolah. Namun kadang-kadang emak yang lakukan jika masa sudah lewat. Sementara saya mandi dan bersiap untuk ke sekolah emak menggoreng ikan dan menyediakan bekal untuk saya bawa ke sekolah.

bas sekolah

Sekali lagi saya berjalan kaki ke tempat menunggu bas sekolah memikul beg sekolah yang berat dengan buku-buku. Kami berdiri di tepi jalan sahaja kerana tidak ada pondok khas tempat menunggu bas. Dalam bas berdiri lagi, kerana penumpang bas selalunya melebihi muatan. Kadang-kadang kami terpaksa bergayut ditangga bas sahaja kerana penumpang yang terlalu padat. Kami tidak mahu ketinggalan bas dan lewat kesekolah. Saya dan kawan-kawan semuanya gembira dan ceria sahaja menjalani kehidupan itu walaupun tanpa kemewahan seperti anak-anak zaman sekarang.

Kini, selepas berpuluh tahun berlalu, ketika saya mengharap kasih sayang Allah, mengenang masa lampau saya yang lalui, saya faham betapa agungnya kebesaran dan kekuasaan Allah. Saya dapat menikmati kemanisan hidup melalui perjalanan yang berliku, cabaran yang indah untuk dikenang. Saya dapat merasai sesuatu yang Allah nyatakan kepada insan biasa seperti saya, pecahkan tembok ‘ketakutanmu’!, anda mampu lakukan!, anda hebat!.

Satu perkara lagi yang dapat saya simpulkan disini, suasana kehidupan dahulu aman dan selamat, menjadikan ibubapa yakin untuk melepaskan anak-anak berada diluar, berdikari tanpa ditemani orang dewasa. Tidak seperti zaman sekarang, ibubapa sangat mengongkong dan menyawal pergerakan anak-anak mereka dengan ketat kerana bimbang dengan cabaran dan pelbagai pengaruh budaya tidak sihat yang semakin bertambah pada masa kini.

Sekian, Kisah sehari di Tingkatan 1. Jumpa lagi dalam sembang seterusnya.

Kongsi sekiranya bermanfaat.